02/10/2019
SNAKE PLANT
Snake Plant atau juga dikenali sebagai Lidah Mak Mertua merupakan antara pokok yang tidak asing lagi.
Bagi penggemar pokok hidup, Snake Plant adalah pokok yang wajib ada dalam senarai.
Nama saintifiknya ialah Sansevieria.
Pokok ini bukan sahaja sesuai ditanam di luar rumah, malah di dalam rumah juga sebagai indoor plant.
Ianya kelihatan segak jika diletakkan di balkoni, ruang tamu, bahagian dapur, bilik tidur mahupun di dalam bilik air.
Menurut Balcony Garden, Snake Plant mempunyai banyak kelebihan terutamanya jika diletakkan dalam rumah atau pejabat.
Antara kelebihan Snake Plant adalah seperti berikut:-
1. Pembekal oksigen yang baik.
Menurut satu kajian oleh penyelidik daripada Universiti Harvard, Snake Plant merupakan pembekal oksigen yang baik.
Selain Snake Plant, pokok lain yang turut membekalkan oksigen dengan baik adalah pokok Ficus dan Money Plant atau nama saintifiknya Pothos.
2. Memberikan latar yang menarik dan unik.
Bentuknya yang unik membuatkan Snake Plant mampu memberikan suasana yang menarik dan tenang.
Selain itu, bentuk daunnya yang menegak dengan campuran warna kuning dan hijau juga memberikan tarikan yang tersendiri.
3. Membersihkan udara.
Snake Plant juga boleh bertindak sebagai pembersih udara dalam rumah. Selain karbon monoksida, gas-gas berbahaya yang boleh disingkirkan oleh pokok ini termasuklah benzene, formaldehyde, xylene dan toluene.
Ramai pakar berpendapat, gas-gas toksik berkenaan adalah salah satu punca kanser kepada manusia.
4. Berkesan dalam melawan alahan.
Pokok yang merupakan pembekal oksigen yang baik dan boleh mengurangkan gas berbahaya dalam udara diyakini juga boleh mengurangkan alahan yang berpunca daripada masalah udara.
Walaupun anda menggunakan pembersih udara, meletakkan Snake Plant di dalam rumah sebenarnya turut membantu.
5. Mudah dijaga dan diuruskan.
Snake Plant tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dijaga. Ia boleh hidup dengan baik di bawah cahaya matahari dan juga di dalam ruang gelap.
Berdasarkan pengalaman saya, Snake Plant tidak perlu disiram setiap hari. Cukup siram seminggu sekali sahaja dengan kadar air yang minima.
Pendek kata, pokok ini sangat berdikari.
6. Merawat penyakit gout.
Selain daripada itu, menurut Pak Anjang saya dari Melaka, Snake Plant jenis ini boleh dibuat ubat untuk penyakit gout.
Caranya mudah. Layurkan daunnya di atas api. Kemudian balutkan dibahagian yang kena gout.
Ianya mungkin tidak dapat memulihkan sepenuhnya. Tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesakitan yang dialami oleh pesakit.
Snake Plant semakin mendapat tempat dihati penggemar pokok hidup.
Jika dulu, ramai yang membuangnya apabila terlampau banyak di satu-satu kawasan. Tapi kini, Snake Plant menjadi rebutan.
Di nursery, harganya boleh tahan mahal.
Ternyata, Snake Plant bukan sahaja cantik dan unik, malah banyak manfaatnya.
Jom kita tanam Snake Plant mulai hari ini.
Ashraf Sharef, Shah Alam