17/01/2022
Allah izin tak bermakna Allah redha.
Allah izinkan Firaun memerintah, tak bermakna Allah redha dengan pemerintahan Firaun.
Allah izinkan Abu Jahal lempar najis ke tengkuk Rasulullah SAW, tak bermakna Allah redha dengan perbuatan Abu Jahal.
Allah izinkan kita bermaksiat, curang ke, berzina ke, merokok ke, mencuri ke, dan pelbagai maksiat serta keingkaran lain, tak bermakna Allah redha dengan kemaksiatan kita.
Keizinan Allah dan keredhaan-Nya itu berbeza.
Keizinan Allah SWT tidak menghalalkan kemaksiatan dan keingkaran yang kita lakukan.
Baliklah kepada Al-Quran dan hadith sohih.
Seseorang yang bermuat maksiat, melakukan perbuatan kotor, selayaknya ditegur, dinasihati, dikritik perbuatannya. Sudah semestinya teguran, nasihat dan kritikan tu perlu kena pada caranya. Bukan semberono, bukan maki hamun, bukan mencederakan, bukan semata-mata nak viral.
"Bagaimana nanti jika dia bertaubat? Bagaimana nanti dia jadi alim? Tak ke berdosa kita kritik perbuatan maksiatnya?"
Dia bertaubat, itu urusan dia dengan Allah SWT. Dan apakah itu akan berlaku atau tidak, kita tidak tahu. Tapi apa yang telah berlaku, ialah dia telah melakukan keingkaran, maksiat, kerosakan. Maka yang kita kritik, tegur, nasihat ialah keingkaran, maksiat dan kerosakan yang telah dia lakukan.
Itu tidak menafikan bahawa dia ada peluang untuk berubah, untuk bertaubat. Mungkin juga, jalan keinsafannya ialah melalui kritikan, teguran dan nasihat kita.
Kemungkinan dia berubah menjadi baik, alim, apa semua pada masa akan datang, tak menghalang tanggungjawab kita untuk menyeru kepada kebaikan, dan mencegah kemungkaran pada masa sekarang.
Perbuatan seseorang, tambah p**a orang yang pop**ar dan dikenali, ada impak besar kepada masyarakat. Hendaklah bila orang begini berbuat kesalahan, maksiat dan keingkaran, jika kita rasa patut ditegur, kita tegur. Kritik. Sebab risau-risau ia akan mempengaruhi lebih ramai orang.
Menyembunyikan masalah ini di sebalik 'keizinan Allah' ialah satu musibah kepada masyarakat. Mungkar dan kerosakan akan berleluasa sebab orang semua akan sangka, tak apa mereka nak bermaksiat dan berbuat kerosakan, kerana mereka dapat buat itu pun kerana Allah izin.
Padahal, Allah izin tak bermakna Allah redha.
Firaun ketegaq sampai ditenggelamkan dalam laut merah.
Abu Jahal ketegaq sampai tumbang di medan Badar.
Kedua-duanya ahli neraka.
Na'udzubillah kita pun akan jadi begitu, jika ketegaq duk reka banyak alasan semata-mata nak halalkan perbuatan maksiat dan keingkaran kita.
Betulkan kefahaman kita.
Baliklah kepada Al-Quran dan As-Sunnah, belajarlah dua perkara ini dengan guru yang ada kepakaran terhadapnya.
Jangan beragama sekadar dengar-dengar, rasa-rasa.
Muhasabah.
Kredit: Hilal Asyraf