23/03/2022
انا لله وانا اليه راجعون
انا لله وانا اليه راجعون
اَللّٰهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهَ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَس وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجٙا خَيْرًا مِنْ زَوْجٙهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ.
Telah kembali ke rahmatullah, ulama' sesepuh negeri Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Jaafar dalam usia 86 tahun.
Moga Allah Taala menerima segala amal kebajikan, jasa baktinya terhadap agama dan penat lelah Allahyarham dalam mendidik masyarakat. Moga Allah Taala menempatkan Allahyarham di kalangan mereka yang mendapat Syurga ilahi. Amin
Manaqib ringkas beliau :
Tuan Guru Dato' Nik Jaafar Nik Ismail ( 1936 - 2022 )
Oleh : Tengku Yusuff
Nama penuh tokoh ulama' tarannum al-Quran tanah air ini ialah Tuan Guru Dato' Nik Jaafar Bin Haji Nik Ismail Bin Haji Nik Haron Bin Haji Nik Wan Ahmad Bin Tengku Mahmood dan beliau dilahirkan di Kampung Kerasak, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan pada tahun 1936.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rakyat Kampung Kerasak dari tahun 1945 hingga 1947. Seterusnya beliau meneruskan pengajian agamanya di Madrasah ad-Diniah, Kampung Kedondong, Pasir Mas bermula dari 1948 hingga 1940. Kemudian ke Madrasah Muhammadiah, Kubang Bemban, Pasir Mas dari tahun 1951 hingga 1961.
Tuan Guru Haji Nik Jaafar kemudiannya melanjutkan pendidikannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1962 hingga 1964.
Di dalam bidang ilmu Quran, beliau mengaji dengan ayah serta datuknya. Di samping itu, Tuan Guru juga turut menuntut ilmu dari beberapa ulama' Qari yang terkenal di tanah air. Di antara gurunya ialah :
1. Tuan Guru Haji Mohd Yusuf Kedondong - Qari Diraja Kelantan - Datuknya
2. Tuan Guru Haji Nik Ismail - Ayahnya
3. Tuan Guru Haji Che Musa Mahmud - Qari Istana Kelantan - Dari tahun 1960 hingga 1965
4. Tuan Guru Haji Ahmad Ma'sum Pergau - Dari tahun 1965 hingga 1986
5. Syeikh Mahmood Hafiz Muhammad Mustafa
6. Syeikh Dr Ahmad al-Masri
Selepas selesai menuntut ilmu, beliau telah dilantik memegang beberapa jawatan didalam kerajaan. Di antaranya ialah :
1. Berkhidmat sebagai guru agama Kerajaan Kelantan dan Kementerian Pelajaran Malaysia selama dua puluh tahun disamping terlibat membentang kertas-kertas kerja mengenai tarannum al-Quran peringkat kebangsaan
2. Pensyarah kursus metadologi pengajaran dan pembelajaran Al-Quran Kementerian
3. Ahli panel penulisan kurikulum dan buku tarannum al-Quran kelas kemahiran membaca al-Quran kementerian.
Kelebihan yang dimilikinya membolehkan Tuan Guru Nik Jaafar dilantik sebagai hakim tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak 1983 dan meletakkan namanya sebaris dengan tokoh agama seperti Tan Sri Hassan Azhari dan Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad.
Usaha dan ilmu yang dimilikinya membolehkan beliau membantu melahirkan ramai johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa seperti :
1. Ustaz Ibrahim Harun
2. Ustazah Faridah Mat Saman
3. Ustazah Fatimah Mat Diah
4. Ustaz Radhi Kamarul Hailan
5. Ustaz Datuk Hanizah Jalaludin
Selain menjadi imam di Masjid Kampung Kedondong, beliau juga menubuhkan pusat pembelajaran al-Quran dikenali Majlis Raudhah al-Tilawah al-Quran di Pasir Mas, Kelantan.
Jejak langkah Tuan Guru Haji Nik Jaafar dalam ilmu taranum ini turut diikuti oleh anak-anaknya terutamanya Allahyarham Ustaz Nik Azizan yang turut hebat dalam taranum dan sering diundang menjadi tetamu di radio IKIM fm.
Beliau meninggal dunia pada 23 Mac 2022 ketika berusia 86 tahun.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
*Sumber - https://fadzilahharon.blogspot.com/2010/02/tokoh-tarannum-negeri-kelantan.html?m=1