20/01/2026
Jalan Terus Dalam Kebaikan, Jangan Pandang Belakang!
Kadangkala dalam hidup, kita rasa letih. Letih bukan kerana kerja, bukan kerana tanggungjawab, tetapi letih kerana manusia. Kita cuba buat baik, tetapi ada saja yang mempertikaikan. Kita cuba berubah, tetapi masih ada yang mengungkit kisah lama. "Elehhh... macam lah kau tu baik sangat. Macam lah aku tak kenal kau”
Kata-kata seperti ini bukan sahaja menyakitkan, malah kadang-kadang melemahkan semangat kita untuk terus berbuat baik. Tapi ingat, manusia memang begitu. Akan selalu ada yang mencari salah, akan selalu ada yang tidak senang melihat perubahan kita ke arah kebaikan. Jika kita berhenti hanya kerana mereka, siapa yang rugi? Kita. Bukan mereka.
Jangan biarkan kata-kata manusia menjadi penghalang untuk kita terus melangkah dalam jalan kebaikan. Kita bukan buat baik untuk manusia, tetapi untuk Allah. Kita bukan menulis sesuatu yang baik di media sosial untuk dipuji manusia, tetapi untuk menyampaikan kebaikan. Jika ada yang mengata, biarkan. Jika ada yang mengejek, abaikan. Kita tahu apa yang kita buat, dan yang lebih penting, Allah tahu niat kita.
Teruskan menulis yang baik-baik. Teruskan berbuat baik. Jika ada yang berkata, "Kau ni bajet alim," senyum sahaja. Kerana dalam perjalanan menuju Allah, dugaan seperti ini pasti ada. Syaitan tak s**a melihat kita berubah ke arah lebih baik. Kadangkala ia menggunakan manusia lain untuk melemahkan kita. Maka jalan terus! Jika kita terjatuh, bangun lagi. Jika kita menangis, biar air mata itu menjadi saksi usaha kita untuk menjadi lebih baik.
Buat baik ini tak perlu minta izin sesiapa. Tak perlu tunggu manusia redha, cukup kita tahu Allah redha. Tak perlu menoleh ke belakang hanya kerana ada yang mengungkit kisah lama. Kerana kita berubah bukan untuk kembali ke masa lalu, tetapi untuk memperbaiki masa depan. Selagi kita tahu apa yang kita buat itu Allah s**a, selagi kita tahu hati kita menuju kepada-Nya, teruskanlah!
Bila kita sampai satu tahap di mana kita sudah tak kisah dengan kata-kata manusia, itu tanda kita sudah mencapai istiqomah. Mujahadah yang kita lalui hari ini akan menjadi kekuatan kita esok. Percayalah, di penghujung jalan ini, ada sesuatu yang lebih besar menanti – iaitu rahmat dan kasih sayang Allah.
Jangan berhenti.
Jalan terus.
Biarlah kita mati dalam kebaikan ini, kerana itulah sebaik-baik kematian.