18/05/2022
Sebab tu ramai pengkarya malas nak buat setting nusantara….akan muncul golongan2 ni yang tak faham disclaimer “fiksyen” pada karya…lepas tu sibuk nak suruh visual tepat pada sejarah…ini adalah killjoy pada pengkarya.
- Tuan Azrule.
Saya ikut rapat perkembangan Filem Mat Kilau daripada Studio Kembara, arahan Syamsul Yusof. Sememangnya poster dan trailer filem mempunyai daya tarik, sehinggakan ramai bersembang berkenaan filem ini.
Sesuatu yang amat baik.
Tetapi macam biasa saya perasan, bila ada berkait berkenaan sejarah dan budaya kita, akan wujud komen-komen meminta paparan yang amat tepat berkenaannya.
Sampai saya ada jumpa cadangan supaya para pelakon kena menggunakan loghat Pahang agar ceritanya jadi lebih tepat dengan sejarah.
Saya boleh faham semangat dan kesungguhan para pencinta sejarah dan budaya kita. Saya hormat dan saya fikir semangat itu bagus. Cuma perlu kena pada tempatnya.
Filem Mat Kilau itu fiksyen. Diinspirasikan kisah benar.
Filem Mat Kilau bukan dokumentari sejarah. Filem itu sendiri bukan kisah benar.
Di medan fiksyen, tak kira novel atau filem, pengkarya akan mahukan ruang berkreativiti. Sebab kalau terikat hanya pada fakta, itu akan menyekat kreativitinya.
Bagi saya, selain hal agama, semua hal lain wajar diberikan kelonggaran dan ruang yang besar untuk berkreativiti.
Filem belum keluar, kita dah kritik begitu dan begini. Ini mungkin juga membuatkan penggiat fiksyen takut nak menyentuh elemen-elemen budaya dan sejarah kita. Walhal kalau kita tengoklah pentas fiksyen di peringkat antarabangsa, macam Jepun, Korea dan China, mereka berikan ruang kreativiti yang amat luas kepada pengkarya-pengkarya mereka untuk mengangkat budaya dan sejarah mereka di ruang fiksyen.
Saya suarakan hal ini sebab hal yang sama pernah saya lalui ketika mahu menghasilkan Novel Nirnama. Bertubi-tubi saya terima mesej daripada pencinta budaya, pencinta sejarah nusantara, pencinta busana nusantara, pencinta senjata nusantara, pencinta seni mempertahankan diri dan sebagainya, yang mahukan Novel Nirnama itu betul-betul lah tepat sebagaimana fakta realiti.
Walhal Novel Nirnama itu novel fiksyen. Bukan novel sejarah. Bukan fakta.
Kita kena faham, medan fiksyen ini medan hiburan. Tapi bila kita suntik dengan elemen budaya, sejarah, hatta agama pun, sebenarnya ia akan menjentik para penonton/pembaca fiksyen untuk mencari sumber kepada idea fiksyen itu.
Walhasil, mereka akan berjumpa dengan fakta-fakta yang benar.
Contoh, ada pembaca Nirnama sangat s**a dengan busana-busana dalam Nirnama(walaupun tak setepat sejarah) sampai mencari buku berkenaan Destar Alam Melayu. Walhasil dapatlah dia ilmu yang lebih mendalam dan tepat berkenaan busana Melayu. Tapi pancingnya datang dari mana? Fiksyen. Novel Nirnama. Yang busananya dikomen tak cukup tepat itu.
Itulah sebenarnya fungsi fiksyen.
Kalau kita nak karya itu tepat sebagaimana sejarah & fakta alam realitinya, maka baik buat buku teks sejarah atau dokumentari atau siri Kisah Benar.
Setiap perkara ada tujuannya. Ada fokusnya.
Sebaiknya kita raikan.
Studio Kembara dan pengarah filem Syamsul Yusof sudah buat sesuatu yang bagus. Filem Mat Kilau. Angkat sejarah dan budaya kita di medan fiksyen. Kita wajar raikan. Berikan semangat dan sambutan hangat agar lebih banyak lagi pengarah akan s**a nak buat karya sedemikian.
Harapan saya satu hari kelak, kita boleh bersaing dengan Jepun Korea, dan China dalam mengangkat budaya dan sejarah kita di persada antarabangsa, melalui medan fiksyen.
Bermula dengan lapang dada dan memberikan sokongan sebaiknya kepada anak watan yang sudah dan sedang mengusahakannya.
InsyaAllah.
===================
Kepada rakan-rakan yang berminat nak dapatkan Novel Nirnama, baik versi rumi atau versi jawi(ya, ada versi jawi. Sepenuhnya bertulisan jawi.) boleh dapatkan di Shopee Hilal Asyraf Resources.
KLIK: https://shopee.com.my/hilalasyrafresources
Nirnama mengisahkan kelana seorang pendekar tanpa nama yang giat membantu orang ramai dalam kesusahan, terutama yang ditindas kezaliman, kala Tanah Semenanjung dicengkam pemerintahan Sultan kejam lagi syirik bernama Jagat Suci.
Nirnama merupakan novel, tetapi turut diselangi lebih 70 ilustrasi hitam putih yang berkualiti.