15/08/2026
Siri Ziarah Asnaf Diteruskan
Siri ziarah asnaf diteruskan dengan menelusuri kehidupan mereka yang mungkin tidak selalu terlihat, tetapi sentiasa menjadi perhatian dalam amanah zakat.
YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan diiringi Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Is. Mohd Nizam Haji Yahya, serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP Tuan Haji Mohammed Hassan berkesempatan menziarahi tiga buah rumah asnaf di PPR Laksamana, Jalan Peel, Kuala Lumpur.
Di sebalik pintu-pintu rumah ini, tersimpan pelbagai kisah kehidupan.
Ada anak yatim yang baru sahaja kehilangan ibu bapa. Ada ibu tunggal yang cekal membesarkan keluarga dengan kudrat sendiri. Ada insan kelainan upaya (OKU) yang berdepan cabaran dalam menjalani kehidupan seharian dan ada juga keluarga miskin yang terus berjuang mencukupkan keperluan asas.
Mereka mungkin berbeza cerita, tetapi satu perkara menyatukan mereka, mereka tidak seharusnya berjuang sendirian.
Dalam ziarah ini, YB Menteri turut menyerahkan bantuan daripada Pemegang Wakalah MAIWP kepada keluarga yang diziarahi, sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang buat mereka.
Kerana zakat bukan sekadar bantuan.
Zakat adalah tentang memastikan mereka yang sedang diuji tahu bahawa masih ada tangan yang menghulurkan, masih ada hati yang peduli dan masih ada ummah yang tidak melupakan mereka.
Semoga setiap sumbangan yang disampaikan menjadi asbab meringankan beban, menyalakan harapan dan membawa sedikit sinar dalam kehidupan keluarga-keluarga ini.