11/07/2026
The Tinder Swindler: Scammer yang hidup mewah guna duit mangsa
Kalau tengok sekali imbas, mamat Israel Simon Leviev ni memang nampak macam anak kepada jutawan berlian dunia Lev Leviev. Naik jet peribadi, menginap di hotel lima bintang, pakai baju berjenama dan dikelilingi bodyguard.
Hakikatnya?
Semuanya hanyalah satu penipuan yang dirancang dengan sangat licik.
Modus operandi dia hampir sama untuk setiap mangsa.
Mula-mula dia cari wanita melalui aplikasi Tinder. Tak tunggu lama, terus ajak dating di lokasi mewah. Kadang-kadang baru kenal beberapa jam, dia dah ajak naik jet peribadi kononnya ada urusan kerja atau bercuti.
Dari situ mangsa mula percaya yang lelaki ini memang kaya raya dan prince of diamond!
Selepas hubungan menjadi rapat, dia akan menghujani mangsa dengan kasih sayang, hadiah dan layanan bak puteri cerita fairytail. Teknik ini dikenali sebagai love bombing.
Kemudian datanglah babak yang ditunggu.
Simon akan menghubungi mangsa dalam keadaan panik. Dia mendakwa sedang diburu musuh dalam dunia perniagaan berlian. Disebabkan akaun banknya kononnya dipantau, dia tidak boleh menggunakan kad kredit sendiri.
Di sinilah mangsa mula diminta membantu.
Ada yang diminta membuat kad kredit atas nama sendiri, ada yang membuat pinjaman bank, malah ada yang sanggup menjual aset demi membantu lelaki yang mereka sangka bakal menjadi suami!
Jumlah kerugian setiap mangsa mencecah ratusan ribu dolar.
Lebih licik lagi, duit daripada mangsa baharu digunakan untuk membiayai kehidupan mewah bersama mangsa yang lain. Mamat ni seolah-olah menggali lubang baru untuk menutup lubang lama. Memang dia joli katak habis dengan duit orang lain. Skim ini berterusan sehingga semakin ramai wanita jadi mangsa dan kemudiannya sedar mereka diperangkap!
Menurut siasatan, mangsa datang dari pelbagai negara dan jumlah keseluruhan wang yang dipercayai diperoleh melalui penipuan ini dianggarkan mencecah 10 juta dolar!
Macam mana dia akhirnya ditangkap?
Walaupun ramai mangsa sudah membuat laporan polis, Simon bukan mudah untuk diberkas. Dia sentiasa bergerak dari satu negara ke satu negara menggunakan pasport dan identiti yang mengelirukan.
Kejatuhannya bermula apabila beberapa mangsa mula berhubung sesama sendiri. Mereka berkongsi bukti, mesej, resit bank dan gambar yang menunjukkan lelaki yang sama menggunakan modus operandi yang sama terhadap ramai wanita.
Salah seorang mangsa, Cecilie Fjellhøy, tidak berdiam diri. Dia bekerjasama dengan wartawan dari akhbar Norway untuk mendedahkan kisah sebenar Simon. Artikel itu tersebar dengan pantas sehingga wajahnya mula dikenali di seluruh Eropah.
Apabila identitinya terbongkar, Simon semakin sukar mencari mangsa baharu.
Kemuncaknya, salah seorang wanita yang sudah menjalin hubungan selama 14 bulan dengannya terjumpa artikel mengenai Simon si kaki cukur ni. Dia memang sangat marah dan terkejut sebab mereka dah rancang untuk berkahwin. Dia pun dah pinjamkan 140k dolar kepada Simon. Rupanya dia pun mangsa scam daaa..
Tak tunggu lama, dia rancang untuk scam balik Simon dan memang Simon terduduk sampai jadi King of Homeless.
Pada tahun 2019, dia akhirnya ditahan di Greece selepas menggunakan pasport palsu ketika menaiki penerbangan. Selepas itu, dia dihantar pulang ke Israel untuk menjalani hukuman atas beberapa kesalahan termasuk penipuan dan penggunaan dokumen palsu yang berkaitan dengan kes terdahulu.
Namun, ramai yang terkejut apabila hukumannya tidaklah selama yang disangka.
Walaupun dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan, Simon hanya menjalani kira-kira lima bulan sebelum dibebaskan lebih awal atas faktor tertentu. Hampas betul Israel punya undang-undang!
Selepas dibebaskan, dia kembali aktif di media sosial dan masih mempamerkan gaya hidup mewah. Malah dia pernah membuka akaun berbayar untuk berkongsi nasihat perniagaan dan muncul dalam beberapa temu bual.
Apa yang lebih menyedihkan, kebanyakan mangsa masih menanggung hutang yang dibuat demi membantunya. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun untuk melangsaikan pinjaman bank, sedangkan lelaki yang menipu mereka sudah kembali menikmati kehidupan bebas.
Sampai hari ini, nama Simon Leviev masih menjadi antara contoh paling terkenal bagaimana seorang scammer boleh memanipulasi emosi, kepercayaan dan cinta untuk mendapatkan wang daripada mangsanya.
Kes ini juga mengajar satu perkara yang sangat penting iaitu scammer tidak semestinya datang dengan wajah mencurigakan. Kadang-kadang mereka hadir dengan senyuman yang paling meyakinkan, kata-kata yang paling manis, dan kehidupan yang nampak terlalu sempurna.
Kalau sesuatu nampak terlalu indah untuk dipercayai, mungkin memang ada sesuatu yang sedang disembunyikan.
Gambar di bawah adalah akaun sebenar si Mamat Israhell Shimon Hayut yang menukar nama jadi Simon Leviev anak taikun berlian. Boleh pergi baca komen para netizen yang memerli beliau diruang komen! 🤣
Kisah mamat ni dijadikan dokumentasi di Netfilx dengan tajuk The Tinder Swindle.