02/01/2022
Antara dialog penting dalam kisah Hajar dan Ismail ketika ditinggalkan Ibrahim a.s. adalah:
آللَّهُ الَّذي أَمَرَكَ بهذا؟ قالَ: نَعَمْ، قالَتْ: إذَنْ لا يُضَيِّعُنَا
'Adakah Allah yang menyuruh kamu dengan hal ini (meninggalkan mereka di padang pasir yang tiada orang)? Ibrahim a.s. pun menjawab: Ya. Lalu Hajar berkata: Jika begitu Dia pasti tak akan mensia-siakan kami.'
Daripada kisah Hajar dan Ismail ini, ada beberapa inspirasi penting boleh kita ambil sebagai manfaat bersama:
1. Hajar boleh saja mengeluh ditinggalkan Ibrahim a.s., mengeluh tak ada apa di sekitarnya, mengeluh kena jaga anak seorang diri, tetapi dia memilih untuk yakin dengan Allah s.w.t. dan berusaha semampunya untuk menjaga dirinya dan anaknya berbanding mengeluh.
Jika kita rasa frust tengok keadaan diri kita sekarang, kita mungkin boleh bandingkan kedudukan diri kita dengan Hajar. Di padang pasir yang luas, tidak ada rumah besar, tidak ada kenderaan hebat, tidak ada wang sama sekali untuk membeli keinginan diri, tidak ada pekerjaan atau bisnes apapun, bahkan tidak pop**ar sama sekali walaupun dia isteri Nabi yang digelar sebagai 'ummat'. Rasa frust macam diri sama saja? Yang penting kita ada step step kecil untuk lakukan sesuatu sebagaimana Hajar melangkah ke sana ke mari mencari air untuk anaknya. Tak perlu frust tengok orang lain. Yang penting kita berusaha.
2. Hajar memahami suaminya 'pergi' meninggalkannya untuk kebaikan. Maka di sini pentingnya sikap yang betul kerana ia akan menjadi titik tolak dalam menentukan bagaimana bertindak ketika ketiadaan suaminya.
Hajar membuktikan dengan ketiadaan suaminya, dia mampu mendidik karakter yang tepat dalam diri anaknya Ismail a.s. Cuba bayangkan, seorang isteri dan anak ditinggalkan suami. Boleh saja si isteri bercakap yang buruk tentang si ayah di depan anaknya kerana meninggalkan mereka di tempat yang tak ada apa-apa selama bertahun lamanya.
Tetapi itu bukanlah karakter Hajar. Walaupun di kejauhan dari Ibrahim a.s., tetap Hajar menceritakan perkara-perkara yang baik tentang ayahnya kepada Ismail a.s. Tidak menanam sangka buruk dalam diri anaknya terhadap ayahnya. Ini boleh dilihat sekembalinya saja Ibrahim a.s. ketika Ismail a.s. sudah agak besar sikit, perintah untuk menyembelihnya disahut dengan penuh yakin dan tenang tanpa mempertikaikan tindakan ayahnya atau perbuatan ayahnya yang telah lama meninggalkannya.
Di sini, penting dalam sebuah rumahtangga agar si suami meluruskan hatinya ketika keluar bekerja atau meninggalkan keluarganya untuk satu urusan kebaikan serta si isteri p**a meluruskan hatinya ketika berada di rumah sama ada dengan berusaha menjaga dirinya sendiri dan juga dalam menanamkan sangkaan anak terhadap ayahnya yang tiada di sisinya.
3. Kisah Hajar, Ibrahim a.s. dan Ismail a.s. menunjukkan kita membina kekuatan jiwa melalui ujian. Sebab itu bersabarlah dan jangan cepat mengalah dalam ujian.
Setelah ditinggalkan di padang pasir yang kontang, anak p**a menangis. Bila menangis, bukannya ada water filter untuk tekan air bagi, tetapi kena cari. Pergi ke sana ke sini. Nak jalan ke sana sini bukannya ada skuter ke atau eskalator ke. Demikianlah ujian Hajar. Bukannya sehari, tetapi bertahun lamanya. Ujian untuk Hajar, bukan bermakna Ibrahim a.s. dalam keadaan rehat dan rilek. Ujian untuk Hajar, ujian juga untuk Ibrahim a.s. Sebab itu, doa Ibrahim a.s. sentiasa berkitar tentang zuriat dan anak soleh kerana itu sentiasa di dalam benak fikirannya walaupun berjauhan dari isteri anak.
Di antara tips dalam membina ketahanan jiwa adalah belajarlah bersederhana atau bersusah payah dalam hidup. Kalau semua senang saja, nak ini dapat, nak itu dapat, kita tak ada jiwa yang betul-betul menghargai nikmat yang Allah berikan. Ajar diri kita, ajar anak kita berusaha, bersungguh-sungguh dalam usaha dan itu mestilah bermula dari diri kita sebagaimana Hajar mencontohkannya kepada Ismail a.s.
Demikianlah sedikit pengajaran bersama.