04/08/2026
Tawau Tropical Rainforest Run Sasar 500 Peserta, Angkat Tawau Hills Park Sebagai Destinasi Ekopelancongan
TAWAU, 4 Ogos – Tawau Tropical Rainforest Run 2026 yang dijadual berlangsung pada 19 September depan menyasarkan penyertaan seramai 500 pelari, sekali gus menjadi platform mempromosikan keindahan alam semula jadi Tawau Hills Park sebagai antara destinasi ekopelancongan utama di Sabah.
Perkara itu dibincangkan dalam satu sesi perbincangan publisiti program yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah, Tuan Hady Syam Nureddin, bersama Timbalan Pengerusi Tawau Runner, Sudirman Nanang, serta jawatankuasa penganjur di sini.
Hady Syam berkata, usaha promosi kini memberi tumpuan kepada meningkatkan penyertaan masyarakat Tawau selain menarik pelari dari seluruh Sabah dan luar daerah untuk merasai pengalaman unik berlari di laluan hutan semula jadi Tawau Hills Park.
“Pada malam ini kita membincangkan mengenai program Tawau Tropical Rainforest Run yang akan berlangsung pada 19 September nanti. Fokus kita adalah untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat di Tawau menyertai acara ini dan bersama-sama memeriahkannya,” katanya.
Beliau berkata, acara itu bukan sahaja sesuai disertai pelari berpengalaman, malah terbuka kepada orang ramai yang ingin mencuba pengalaman baharu menikmati larian dalam suasana alam semula jadi.
“Saya menyeru kepada semua pelari di Tawau, malah yang belum pernah menyertai larian juga digalakkan mencuba kerana laluan kali ini melalui kawasan hutan semula jadi di Tawau Hills Park yang kaya dengan flora dan fauna,” katanya.
Menurut beliau, orang ramai dari luar Tawau turut dijemput hadir bagi merasai sendiri keunikan destinasi itu yang terkenal dengan keindahan khazanah alam semula jadinya.
Hady Syam berkata, sambutan penyertaan menunjukkan perkembangan positif dengan kategori larian 10 kilometer telah mencapai kira-kira 30 peratus daripada sasaran 250 peserta, manakala kategori 28 kilometer merekodkan sekitar 35 hingga 40 peratus daripada sasaran 300 peserta.
Beliau berkata, penganjur optimis sasaran keseluruhan seramai 500 peserta mampu dicapai menjelang hari penganjuran hasil usaha promosi yang sedang dipergiatkan.