01/03/2025
Baru-baru ini, seluruh negara dikejutkan dengan satu tragedi yang memilukan. Adik Abdurrahman, seorang anak syurga yang menghidap autism, telah pergi meninggalkan dunia ini selepas terjatuh dari Tingkat 6 kediamannya di Taman Putra Impian.
Arwah merupakan pelajar di Pusat Psikologi dan Rehabilitasi Atfal Jannah, Bandar Bukit Mahkota, di mana beliau menerima pendidikan dan terapi khusus untuk perkembangannya.
Berita ini bukan sahaja meruntun hati kita yang mendengar, tetapi jauh lebih berat bagi keluarganya, khususnya ibu dan ayahnya, untuk memikul ujian sebesar ini.
Jumaat lalu, kami aturkan langkah ke Pangsapuri Putra Impian, menziarahi keluarga ini. Saat tiba di rumah mereka, suasana terasa begitu sunyi, seolah-olah dunia terhenti seketika - sarat dengan kesedihan yang tak terucap.
Wajah sugul sang ayah, Encik Rustam, menyambut kedatangan kami dengan tatapan kosong. Beliau bukan sahaja kehilangan seorang anak dalam sekelip mata, tetapi turut diuji dengan tekanan yang datang bertimpa-timpa.
Soal siasat pihak berkuasa – yang sememangnya menjalankan tugas mereka – dirasakan begitu berat ketika dirinya masih bergelut dengan duka. Ditanya itu dan ini, di saat hatinya masih belum mampu menerima kenyataan bahawa anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang kini telah tiada.
Namun, lebih memilukan adalah ‘suara-suara’ dari luar. Persepsi liar yang tak berasas, sembang kedai kopi yang mereka cerita, membebankan lagi jiwa seorang ayah yang sudah cukup terluka. Seakan-akan beliau belum cukup terseksa dengan kehilangan ini, masih ada yang tega menyiram garam ke luka yang berdarah.
Tiada kata yang mampu kami ucapkan untuk menghilangkan kesedihan keluarga ini, hanya doa yang kami panjatkan agar Allah memberi mereka ketabahan dan mengangkat segala bebanan di hati mereka.
Buat Encik Rustam dan Ustazah Nafsiah, moga Allah mengurniakan kekuatan buat kalian. Percayalah, di syurga nanti, arwah adik Abdurrahman akan menanti kalian dengan senyuman yang manis. Dia kini di tempat yang lebih baik, di sisi Allah, bebas daripada segala kesakitan dunia.
Marilah kita sama-sama doakan agar keluarga ini diberi ketabahan. Semoga ujian ini menjadi asbab untuk mereka mendapat ganjaran syurga Allah.
"Tidak ada seorang pun daripada hamba-Ku yang beriman yang anaknya Aku ambil (wafat), kemudian dia tetap bersabar dan mengharapkan pahala (daripada Allah), melainkan Aku akan memasukkannya ke dalam syurga."
(Hadis riwayat Al-Bukhari, No. 6656)