17/03/2026
Isu melibatkan Zambri Vinoth dan Arun Doraisamy kini bukan lagi sekadar kes individu, ini sudah menjadi ujian sebenar kepada kredibiliti sistem undang-undang negara.
Dalam kes Zambri Vinoth, tindakan beliau di media sosial yang didakwa menyentuh sensitiviti agama telah menerima reaksi pantas , siasatan dibuka, tekanan awam meningkat, dan tindakan undang-undang dilihat tegas serta segera diambil di bawah peruntukan seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga Kanun Keseksaan yang melibatkan isu hasutan serta keharmonian awam.
Namun apabila melihat kes Arun Doraisamy, yang juga dikaitkan dengan tindakan menyentuh sensitiviti agama sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat, timbul persoalan besar: mengapa pendekatan yang diambil dilihat berbeza? Dari sudut kelajuan tindakan, ketegasan pendakwaan, hingga kepada naratif yang dibina, semuanya menimbulkan tanda tanya.
Dua individu. Satu bangsa. Kes melibatkan sensitiviti agama.
Tetapi mengapa hasilnya seolah-olah tidak sama?
Adakah undang-undang kita benar-benar “blind justice”, tidak melihat siapa, agama apa, atau latar belakang mana?
Atau hakikatnya, ada tangan-tangan tertentu yang menentukan bagaimana undang-undang itu digunakan?
Rakyat bukan buta. Rakyat menilai. Bila satu kes dilihat ditekan habis-habisan, manakala satu lagi seolah-olah dilayan dengan nada berbeza, maka lahirlah persepsi bahawa keadilan itu tidak lagi seimbang.
Lebih membimbangkan , jika undang-undang dilihat tidak konsisten, ia bukan sekadar mencalar imej pihak berkuasa, tetapi meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap seluruh sistem keadilan negara.
Undang-undang tidak boleh ada dua wajah.
Tidak boleh keras pada satu pihak, lembut pada pihak lain.
Tidak boleh berubah hanya kerana tekanan, sentimen, atau kepentingan tertentu.
Jadi persoalan paling besar yang perlu dijawab:
Siapa sebenarnya yang mengawal keadilan dalam negara ini?
Undang-undang berdiri atas prinsip, atau tunduk kepada tekanan?
Jika benar kita mahu keadilan, maka ukurannya hanya satu, adil untuk semua, tanpa pengecualian.