02/01/2024
#2
Dalam tempoh berbaki beberapa jam, 2023 akan menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah. Kita akan terus mengorak langkah ke 2024 yang bakal menjadi hamparan tahun baharu untuk dicorakkan. Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua warga kerja PERKESO.
Meninggalkan 2023, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga PERKESO kerana berkat dedikasi anggota pertubuhan ini di seluruh negara, pelbagai mercu kecemerlangan berjaya dilakar. Hasil daripada usaha bersama kita semua, PERKESO telah berjaya mencapai kejayaan demi kejayaan sehingga nama terpahat di persada antarabangsa dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi kebajikan pekerja dan kebajikan para pencarum PERKESO.
Apa yang penting ‘tutup buku lama, buka buku baharu’. Sematkan di jiwa ‘prihatin’ bahawa sebagai pengamal keselamatan sosial, tergalas tanggungjawab yang amat besar di bahu kita untuk berikan perkhidmatan terbaik bagi membela kebajikan segenap individu yang bergantung harap kepada PERKESO.Saya yakin dengan semangat kerja berpasukan dan keazaman kita berdiri teguh bagi memberikan perkhidmatan terbaik untuk semua pencarum PERKESO, meskipun pada penghujung 2023 ini PERKESO menjadi sasaran terbaharu anasir penggodam.
Saya amat menghargai segala dedikasi dan usaha gigih yang ditunjukkan oleh warga kerja PERKESO dalam memberi perkhidmatan demi kesejahteraan perlindungan sosial rakyat Malaysia. Kini, apabila kita bakal memasuki tahun baharu, saya berharap pengalaman, kejayaan dan pengajaran sepanjang tahun 2023 yang bakal berlalu ini akan menjadi milestone yang bermakna untuk kita terus maju melaksanakan misi kehadapan dengan berteraskan amalan S4P (SENYUM, SAPA, SALAM, SANTUN dan PRIHATIN).
Onward to 2024!