18/10/2016
[ HAKIKAT KEBENARAN ]
Kebenaran itu bukan terletak pada rupa, pangkat, harta mahupun pakaian seseorang, tetapi ianya terletak pada kerendahan hati kita tawaduk menerima cebisan kebenaran. Kebenaran tidak dijanjikan pada seorang m***i, menteri apatah lagi kepada seseorang yang mungkin banyak berjasa dalam kehidupan kita. Tetapi ianya ada insan yang sentiasa mencari kebenaran di setiap pelusuk kehidupan. Bangkit menyatakan kebenaran yang dia yakini dengan penuh hikmah dan akhlak. Bukan juga pada individu yang merasakan dia cukup banyak berjasa dan bangga dengan jasanya. Tetapi tetap ada pada individu yang ikhas berjuang dan hanya mengharapkan balasan daripada Tuhan.
Kebenaran itu punya tabiatnya sendiri dan hanya akan hinggap kepada orang yang sentiasa berfikir tentang kebenaran. Mana mungkin ada pada orang yang hanya tahu berjuang tetapi tidak mengenal apa yang diperjuangkannya. Orang lain berjuang atas sesuatu isu, maka kita pun bersetuju tanpa banyak soal bicara. Itu bukan ciri orang yang benar. Ataupun mungkin kita hanya mengikut kebanyakkan orang di sekeliling asalkan ianya nampak baik dan tidak mengganggu masyarakat.
Maka jawapannya adalah sama seperti apa yang diperjuangkan oleh Abu Jahal. Mereka melarang Nabi SAW kerana sudah memandang baik ibadah menyembah berhala dan melihat baginda hanyalah pemecah belahkan masyarakat. Konsep yang sama berlaku pada hari ini, kita lebih rela memperjuangkan sesuatu isu yang diangkat masyarakat berbanding isu untuk membetulkan pemikiran masyarakat.
Kita lebih marah orang menghina 'melayu' daripada orang menghina agama. Kita lebih marah orang menegur kesilapan diri kita daripada kita marah diri sendiri yang melakukan kesilapan. Jadi salahnya di mana??
Dan yang paling memalukan, kita mengaku kita membawa kebenaran tetapi kita tidak bersedia untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik. Adakah Islam itu mengajar kita terus statik dalam takuk lama berbanding berusaha meningkatkan kualiti?
Jadi kebenaran yang bagaimana yang kita perjuangkan??
Islam itu tidak akan dipandang buruk dan hina andai manusia yang memahami agama itu membawa mesej islam yang benar, bersedia berhadapan realiti umat dan bukannya hanya menyalahkan orang lain atas kesilapan diri sendiri.
Semoga Alah mengampuni dan menunjukkan jalan pada kita melalui cahaya kebenarannya.