13/02/2026
Alhamdulillah, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada Suku Keempat 2025 melonjak sebanyak 6.3%, yakni kadar tertinggi dalam tiga tahun dan jauh mengatasi unjuran ahli ekonomi tempatan mahupun antarabangsa.
Hatta, prestasi yang membanggakan ini telah membawa pertumbuhan tahun penuh 2025 kepada 5.2%. Ia bukan sahaja melangkaui pertumbuhan 5.1% pada tahun 2024, malah melebihi ambang unjuran rasmi Kerajaan antara 4% dan 4.8%.
Reformasi struktural seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI jelas telah membuahkan hasil pada bibit-bibit awal perjalanan pembaharuan ini. Pertumbuhan pesat ini merupakan sebab mengapa Malaysia menjadi tumpuan dunia — tercermin melalui pemulihan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, kenaikan pelaburan langsung serta keutuhan indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI, yang kini berada pada paras tertinggi dalam tujuh tahun.
Kita memiliki kekuatan tersendiri. Namun, janganlah terlalu selesa dengan pencapaian yang ada. Dalam dunia yang sarat marcapada dan teknologi yang menderas, kita sebagai sebuah negara mesti kekal beristiqamah dalam usaha melakukan yang terbaik agar tanah air tercinta ini malar makmur dan mekar.