18/08/2026
Dua ekor anjing peliharaan mati selepas diserang seekor anjing besar berhampiran pusat beli-belah YOHO di Yuen Long, Hong Kong pada petang Isnin.
Menurut laporan HK01, mangsa pertama ialah seekor pudel mini berusia 17 tahun yang diserang berhampiran kawasan parkir. Anjing itu sempat dibawa mendapatkan rawatan, namun gagal diselamatkan.
Anjing sama kemudian menyerang seekor Bichon Frise berusia empat tahun dengan menggigit bahagian lehernya sehingga mati di lokasi kejadian. Rakaman menunjukkan beberapa orang awam berusaha menghentikan serangan walaupun berdepan risiko digigit.
Anjing seberat kira-kira 60 kilogram itu dipercayai anjing tempatan kacukan baka lain dan berusia antara tujuh hingga lapan tahun. Bagaimanapun, anggaran tersebut diberikan wakil organisasi penyelamat haiwan dan belum disahkan pihak berkuasa.
Anjing berkenaan ditemukan memakai kolar, namun tidak diikat dengan tali atau dipakaikan penutup mulut. Pemeriksaan mendapati haiwan itu mempunyai mikrocip serta lesen yang masih sah, membolehkan pihak berkuasa menghubungi penjaganya untuk membantu siasatan.