14/11/2018
Bagaimanakah Air Dirawat Sebelum Dibekalkan?
Ada seorang pekerja di loji rawatan air, tengok keruh air sungai je dah tahu berapa banyak ‘dosing’ (campuran bahan kimia) perlu masukkan semasa rawatan. Ujian makmal menentusahkan pendapatnya.
Individu ini amat terkenal waktu itu. Cuma sudah terlupa namanya. Ada satu kata-katanya yang saya ingat sampai hari ini
SEMAKIN JERNIH AIR, SEMAKIN SUKAR IA DIRAWAT
Itu antara pengalaman dikutip sewaktu latihan industri peringkat diploma di Syarikat Air Johor pada tahun 2003. Seminggu duduk dan belajar bagaimana air dirawat di Loji Rawatan Air Sungai Sayong, Kulai Johor.
Kenapa Air Perlu Dirawat?
Ada beberapa tujuan air dirawat :-
-Untuk menghilangkan pencemaran
-Membunuh semua organisma yang membawa penyakit
-Membuang bau, warna dan rasa yang tidak enak
-Menghapuskan gas terlarut yang menyebabkan air tidak segar
-Mengurangkan sifat mengkarat air
-Supaya sesuai untuk tujuan domestik
Jom kita lihat proses rawatan air yang tipikal yang terdapat banyak di Malaysia mengikut turutan.
Proses Rawatan Air
Rawatan Di Dalam Loji Air Bermula dari Pengudaraan (Aeration) – Proses Bahagian Bawah
1. Pengudaraan (Aeration)
Pengudaraan adalah proses mencampurkan air dengan udara (oksigen). Kehadiran oksigen dalam air membebaskan gas hidrogen sulfida dan gas karbon dioksida yang menyebabkan bau, rasa dan sifat karat air. Ferum dan maganan yang menyebabkan bau dan warna dalam air juga dioksidakan oleh oksigen. Ini sekaligus meningkatkan mutu air.
Terdapat banyak jenis pengudaraan yang digunakan seperti bertingkat, percikan, dulang, air terjun dan resapan udara.
2. Campuran Kapur (Lime) dan Alum
Kapur dan juga Alum juga akan dicampurkan ke dalam semasa dalam tangki pengudaraan atau selepas. Kapur bertujuan menaikkan nilai PH air, ini kerana air mentah terutamanya air sungai biasanya bersifat asid.
Alum p**a bertujuan untuk proses seterusnya iaitu ‘Pengentalan’ atau pembentukan flok
Dos kapur dan alum yang bersesuaian akan sentiasa berubah dan dipantau dari masa ke semasa di makmal yang terdapat di dalam loji air. Kurang atau terlebih dos mengakibatkan air tidak dapat dirawat sepenuhnya dan perubahan pada sifat air.
3. Flokulasi (Flocculation)
Setelah didoskan air mentah akan disalurkan ke tangki flokulasi. Alum mula bertindakbalas mengentalkan lumpur dalam air dan seterusnya lebih mudah disingkirkan.
Tangki flokulasi direkabentuk untuk mempercepatkan proses flokulasi. Jarak antara dinding sesekat juga lebih rapat pada permulaan tangki berbanding di hujung. Ia membolehkan flok yang terbentuk berlanggar dengan dinding terkumpul.
Terdapat 2 jenis flok yang terbentuk iaitu terapung dan terampai di dalam air. Flok yang terapung akan disingkirkan dalam tangki ini manakala flok yang terampai dalam air akan disingkirkan dalam porses yang seterusnya.
4. Pengendapan (Sedimentation)
Air seterusnya disalurkan dalam tangki pengendapan. Halaju air faktor penting dalam tangki pengendapan dimana ianya sekitar 30-60cm/saat. Ia mengawal supaya flok/bahan yang terampai dalam air tidak pecah dan proses mendapan yang optimum.
Terdapat 3 jenis tangki mendapan iaitu mendatar, menaik dan pilin. Tangki jenis mendatar banyak digunakan di loji rawatan air.
5. Penurasan (Filteration)
Proses olahan awal dan pemendapan sudah menyingkiran sebahagian besar pepejal terampai dan bahan organik dalam air. Namun masih terdapat pepejal halus dan juga bakteria. Semua bahan yang tertinggal ini dapat disingkirkan dengan proses turasan.
Penurasan adalah proses penapisan air melalui batu, pasir atau medium lain. Air yang lebih tulen dapat dicapai melalui proses penurasan dengan 4 cara:-
i – Secara Mekanik
Bahan atau flok yang terampai yang mempunyai saiz yang lebih besar daripada saiz bahan turas (batu,pasir atau medium lain) akan tidak dapat melepasi turas. Zarah yang terperangkap juga akan menjadi agen penyaring kepada zarah yang lain.
ii – Pembukuan dan Pengenapan
Zarah yang lebih kecil daripada bahan turas p**a akan terperangkap melalui pembukuan dan pengenapan. Zarah yang kecil ini akan terperangkap dan menarik zarah yang lain terperangkap sama.
iii – Metabolisma Biologi
Bahan terampai juga akan membawa bersama organisma mikro dan bakteria. Organisma mikro dan bakteria akan sekaligus melekat pada bahan turas dan membentuk satu lapisan organik yang menjadi agen penyaring zarah dan pepejal terampai.
iv – Tindakbalas Elektrolit
Mengikut teori pengionan zarah pepejal terampai dan bahan turas akan membawa cas elektrik yang berlainan. Cas bertentangan akan bercantum dan meneutralkan antara satu sama lain. Ini akan menjadikan air yang lebih tulen.
6. Pembasmian Kuman
Ini adalah proses akhir sebelum air disalurkan ke tangki air bersih dan tangki imbangan.
Air daripada proses turasan masih terdapat organisma yang berbahaya yang boleh menyebabkan penyakit. Terdapat banyak kaedah pembasmian kuman seperti penggunaan gas ozon, ultra ungu dan klorin.
Di Malaysia penggunan klorin meluas ini kerana sistem bekalan air yang panjang yang memerlukan air mengekalkan sifat membasmi kuman sebelum sampai ke pengguna.
Sekarang mari kita imbas kata-kata yang dipetik pada awal artikel.
SEMAKIN JERNIH AIR, SEMAKIN SUKAR IA DIRAWAT
Setelah anda faham proses rawatan air. Anda rasa mengapa?
Rujukan:
(Bekalan Air, Pembentungan dan Pengairan; Nik Fuad Nik Abdullah, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 1990)
https://haniffismail.wordpress.com/2017/07/21/bagaimanakah-air-dirawat-sebelum-dibekalkan/amp/